Monday, August 6, 2007

Islamic or Not

Welcome to Move IT, the unofficial blog for a group of Gerakan members from Johor. In this blog we will publish articles written by Gerakan and non-Gerakan members on matters of public concern. Please be welcome to comment or email an article which you think is of importance. It will be moderated and bear with us if there are delays. Thank you and Enjoy.



The following is the letter from Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) on the matter of Islamic state published in the Berita Harian dated 1 August 2007

Peguam Syarie menulis: Sejarah bukti Malaysia bukan negara sekular

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar dan Nurhidayah Muhd Hashim

PERSOALAN Perlembagaan Persekutuan bersifat sekular atau tidak, kembali diperkatakan baru-baru ini rentetan pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menegaskan Malaysia sebuah negara Islam. Jika diimbau kembali, isu itu sudah diperkatakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menerajui pimpinan negara. Begitu juga Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut memperkenalkan manhaj Islam Hadhari di Malaysia dan mendapat sokongan ramai, termasuk masyarakat bukan Islam.

Namun, kepemimpinan MCA mempertikaikan kesahihan negara Islam ini dengan mengutarakan laporan Suruhanjaya Reid dan keputusan Mahkamah Agong mengatakan Perlembagaan Persekutuan adalah bersifat sekular. Kenyataan itu dibidas Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan timbalannya, Khairy Jamaluddin.
Polemik ini perlu diselesaikan secara ilmiah, profesional dan berhemah berdasarkan fakta sejarah dan hakikat yang berlaku di negara kita.Mengikut sejarah, laporan Suruhanjaya Reid ada menyatakan kemasukan fasal Islam adalah agama bagi Persekutuan tidak menjejaskan sifat sekular Perlembagaan. Adakah kita terikat semata-mata kepada hasrat penggubal Perlembagaan itu yang rata-ratanya bukan rakyat Malaysia.

Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj juga berpendirian sedemikian. Malah, penghakiman Tun Salleh Abas dalam kes Che Omar Che Soh menafsirkan Islam dalam Perkara 3 itu terhad kepada aspek ritual dan rasmi saja.Namun, jika diperhalusi, Perlembagaan Persekutuan sebenarnya memperuntukkan banyak fasal mengenai agama Islam. Umpamanya Perkara 3 menegaskan tanpa keraguan bahawa Islam adalah agama Persekutuan. Negara sekular seperti Perancis, Turki dan India menyatakan dengan jelas dalam perlembagaan mereka bahawa negara itu adalah negara sekular tanpa merujuk kepada sebarang agama. Ia itu tidak berlaku di dalam Perlembagaan dengan wujudnya Perkara 3 tadi.Jika Perlembagaan adalah sekular tentu Perkara 3 itu ditiadakan, malah ada banyak fasal lain yang memberi keistimewaan dan kedudukan tinggi agama Islam. Ia mustahil berlaku dalam sebuah negara sekular.Sebuah negara sekular tidak boleh mengeluarkan dana awam bagi perkembangan sesuatu agama kerana ia bertentangan dengan prinsip sekularisme. Namun, di Malaysia, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri memperuntukkan ratusan juta ringgit bagi pengembangan dan kemajuan agama Islam, sama ada untuk pembinaan masjid, peruntukan jabatan berkaitan agama Islam dan banyak lagi.

Tindakan kerajaan selaras dengan peruntukan Perlembagaan yang membenarkan dana awam digunakan bagi pembangunan agama Islam seperti diperuntukkan Perlembagaan dan sekali gus menjadi bukti Islam mendapat tempat istimewa dalam Perlembagaan. Perkara 11(4) Perlembagaan pula memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri dan Parlimen bagi Wilayah-wilayah Persekutuan membuat undang-undang mengawal dan menyekat penyebaran agama bukan Islam di kalangan umat Islam. Adalah mustahil dalam sebuah negara bersifat sekular keistimewaan itu diberikan kepada sesebuah agama. Hal ini dengan sendiri menafikan hujah Perlembagaan adalah perlembagaan sekular.Malah, dengan pindaan Perlembagaan pada 1988 menyatakan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa mengganggu keputusan Mahkamah Syariah, sekali gus menaikkan kedudukan agama Islam dan Mahkamah Syariah walaupun ada kalangan masyarakat tidak berpuas hati dengan kedudukan ini. Sekali lagi keistimewaan diberikan kepada agama Islam.Malah, dalam banyak keadaan lain, agama Islam dirujuk dan diiktiraf. Ia termasuk dalam sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong juga menggunakan format dengan menyebut nama Allah seperti lafaz wallahi wabillahi watallahi. Ia adalah sumpah syarie mengikut lunas undang-undang syariah. Dengan menggunakan nama Allah, kedua-dua baginda berazam akan mempertahankan agama Islam di negara ini.Contoh itu adalah sebahagian contoh membidas hujahan pihak yang mengatakan Malaysia sebuah negara sekular secara total. Pelbagai perkara berlaku selepas Perlembagaan dipinda selepas kemerdekaan negara menjurus kepada peninggalan sifat sekular negara.

Adalah jelas Perlembagaan dan negara Malaysia bukan negara sekular dalam erti kata sekular itu sendiri. Negara sekular memisahkan agama daripada perundangan dan pentadbiran. Negara sekular meminggirkan agama dalam mengejar kemajuan. Negara sekular tidak memberi keistimewaan langsung kepada sebarang agama dalam menjalankan aktiviti agama mereka. Perkara itu tidak berlaku di Malaysia.Persoalan kedua, apakah Malaysia sebuah negara Islam dalam erti kata sebenarnya? Perbincangan disambung minggu depan.Penulis ialah Presiden dan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dihantar ke exco_pgsm@yahoo.com


And our reply to Berita Harian dated 2 August.

Merujuk kepada rencana daripada PBSM yang disiarkan di suratkhabar anda pada 1 Ogos 2007. Di dalam rencana itu, penulis beranggapan rakyat bukan Islam menyokong wujudnya negara Islam di Malaysia kerana memberi kemenangan besar kepada kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Datuk Seri Abdullah Badawi yang memperkenalkan Islam Hadhari.

Kami merasa penulis adalah salah dalam anggapan beliau didalam perkara ini. Rakyat bukan Islam mengembalikan kerajaan Barisan Nasional ke kepimpinan negara bukanlah disebabkan oleh Islam Hadhari semata-mata. Rakyat bukan Islam di Malaysia menyokong Barisan Nasional kerana Barisan Nasional mewakili kesemua lapisan rakyat samada tua atau muda, kaya atau miskin, Islam atau bukan Islam, Melayu, Cina atau India dan seterusnya. Rakyat bukan Islam dan dan juga yang beragama Islam dengan hampir sebulat suara menyokong Barisan Nasional kerana Barisan Nasional menjanjikan kerajaan yang jujur, amanah dan saksama.

Nilai-nilai murni yang diterapkan oleh Islam Hadhari adalah nilai-nilai semesta yang tidak bercanggah dengan mana-mana agama bukan Islam. Apabila Datuk Seri Abdullah Badawi menerajui perang dengan korupsi didalam kerajaan, tidak ada orang yang membantah kerana korupsi adalah menjijikkan samada kepada yang beragama Islam atau tidak.
Penerapan nilai-nilai Islam di dalam jentera kerajaan adalah semulajadi kerana majoriti besar kakitangan kerajaan adalah beragama Islam. Ini tidak boleh disamakan dengan kerajaan Islam seperti Arab Saudi yang berperlembagaankan Al-Quran atau Iran yang diperintah oleh Majlis Ulama. Malaysia masih mempunyai sistem politik kerajaan monarki berpelembagaan dimana undang-undang Negara digubal oleh wakil-wakil yang terpilih samada Islam atau bukan Islam. Mahkamah Syariah di Malaysia adalah untuk orang Islam sahaja.

Islam adalah agama resmi negara Malaysia. Ini adalah sebab mengapa wang kerajaan digunakan untuk membangunkan masjid, membina sekolah-sekolah agama dan sebagainya. Tetapi ini tidak bermakna agama-agama lain di abaikan. Sebagai negara berbilang kaum, bangsa dan agama, tanah tanah kerajaan telah diagihkan untuk membina tokong-tokong, kuil-kuil dan juga rumah-rumah berhala yang lain. Wakil-wakil rakyat juga memberi peruntukkan untuk membina rumah-rumah tersebut. Sah bahawa kerajaan prihatin kepada keperluan rohani rakyat Malaysia samada beragama Islam atau tidak dan ini adalah sepatutnya kerana wakil-wakil yang terpilih terdiri daripada rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan agama.

Sehingga wujudnya situasi dimana kesemua rakyat Malaysia berjantinakan lelaki dibenarkan untuk kahwin empat, seperti yang dibenarkan dibawah sebuah kerajaan Islam, maka adalah selamat untuk menyimpulkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berpelembagaan yang berbilang kaum, bangsa dan agama.

No comments: